Kertas kerja ini telah dibentangkan pada 10
Julai 1994, di Wacana Tokoh-Tokoh Mujaddid Islam di Universiti Teknologi Malaysia,
Kuala Lumpur oleh Tuan Guru Abdul Qadir Al-Mandeely (Guru di Masjidil Al-Haram Mekkah
Al-Mukarramah)
Pendahuluan
Meskipun ilmu pengetahuan telah tersebar luas
dikalangan masyarakat Islam dan fikiran umat Islam telah terbuka, namun tidak
dapat dinafikan bahawa kesamaran serta syubhat ke atas Syiekh Muhammad Abdul
Wahab (SMAW) masih lagi bersarang di dalam fikiran sesetengah umat Islam.
Mereka terkeliru dengan dusta-dusta dan fitnah-fitnah yang dilemparkan oleh
orang-orang yang mempunyai tujuan tertentu ke atas SMAW.
Kekaburan itu menjadi bertambah kelam apabila
cerita-cerita sebenar mengenai SMAW tidak sampai kepada mereka dan
ketidakmampuan mereka dalam menilai sesuatu syubhat itu dengan berdasarkan
kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Mereka dimomokkan dengan fitnah-fitnah yang
menakutkan tentang SMAW sedangkan beliau telah bertungkus lumus di dalam
memperjuangkan Aqidah yang sahih, syariat yang sejahtera dan akhlak yang mulia
dengan membersihkannya daripada perkara perkara bid’ah dan kurafat yang
mencarikkan kesucian Islam itu sendiri.
Keadaan mereka menjadi bertambah parah dengan sebab
sikap ta’sub dan taqlid buta mereka. Lantas sikap toleransi dan berfikiran
terbuka tidak wujud pada diri mereka bagi mendengar serta meneliti kebenaran
perjuangan dakwah SMAW. Maka terjadilah segala fitnah fitnah dan syubhat
mengenai SMAW itu seperti fatamorgana yang beralun alun di padang pasir tatkala
panas terik sedangkan apabila dihampirinya tidak ada satu apa pun yang
didapatinya.
Andaikata seseorang itu mempunyai akal yang
bersih daripada syubhat syubhat tersebut serta cintakan kebenaran nescaya
beliau akan mendapati bahawa tuduhan terhadap SMAW itu adalah tidak benar dan
tidak berasas sama sekali.
Oleh itu kita berharap kepada saudara saudara
sekalian agar berfikiran terbuka, bebas daripada bersikap jumud dan permusuhan,
sentiasa berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah di dalam meneliti perbahasan
bab ini serta sentiasa mempunyai sikap ingin tahukan kebenaran.
Kertas kerja ini adalah langkah asas bagi
memperkenalkan kepada masyarakat Islam tentang SMAW dan dakwahnya serta
sekaligus menghapuskan fitnah fitnah terhadapnya.
Di dalam kertas kerja ini juga kita akan
membicarakan syubhat dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau, dimana
perbahasannya adalah berkisar disekitar tiga perkara. Dengan kata lain
sekiranya kita meneliti terhadap fitnah fitnah itu hanya berlengkar sekitar
tiga perkara, iaitu:
·
Berkenaan
Tauhid Uluhiyyah dan furu’nya seperti Istighatah, berdamping kepada yang selain
daripada Allah, nazar, sembelih, bersumpah dengan makhluk dan sebagainya.
·
Berkenaan
Tauhid Al Asma’ was Sifaat.
·
Ingkarnya
terhadap bi’aah bi’aah maulid, tarikat sufiah dan adat adat yang diada adakan
yang menghina agama Islam itu sendiri.
Sejarah Ringkas Syeikh Muhammad Abd Wahab
Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman
bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin At-Tamimi. Dilahirkan di ‘Uyainah
yang terletak di sebelah utara Riyadh pada tahun 1115 H. (1703M) dan meninggal
dunia paa tahun 1206H. Beliau membesar di bawah jagaan ayahnya yang juga
merupakan seorang Qadi di ‘Uyainah.
Syeikh Mohammad Abd Wahab telah menghafal
Al-Qur’an sebelum mencapai umur sepuluh tahun. Beliau telah mempelajari fiqih Hanbali,
Tafsir dan Hadith daripada bapanya. Sememangnya dari sejak kecil beliau amat
menggemari membaca kitab-kitab Tafsir, Hadith dan Aqidah serta lebih banyak
menumpukan kepada hasil karya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Al-Hafiz Ibnu
Qayyim di dalam pembacaannya.
Setelah itu beliau berangkat ke Makkah Al
Mukaramah untuk menunaikan ibadah haji, kemudian terus ke Al Madinah Al
Munawwarah menziarahi Masjid Nabawi, menziarahi Rasulullah SAW dan para
sahabatnya RA. Seterusnya beliau mendalami ilmu agama daripada para ulama
Madinah seperti Syeikh Abdullah b. Ibrahim b Saif, Sheikh Ali Afandy Ad
Daghastani, Syeikh Ismail Al ‘Ajluni, Syeikh Abdul Latif Al-‘Afaaqi Al Ahsaai’,
Syeikh Muhammad Hayat As Sindi.
Kemudian Syeikh Muhammad Abd Wahab pulang ke
Najd dan terus ke Basrah. Beliau tinggal di sana beberapa waktu dan mendalami
ilmu agamanya daripada para ulama Basrah seperti Syeikh Muhammad Al Mujmu’I dan
Al ‘Allamah Malla Hamdu Al Jamili. Di dalam perjalanan pulang ke Nadj beliau
telah berhenti di Al Ahsaa’ dan duduk belajar dari Syeikh Muhammad b Abd Latif
As Syafi’i.
Ketika pulang ke negerinya, beliau telah
melihat kemungkaran, kesyirikan dan kesesatan berleluasa di Negeri Najd,
Haramain, Iraq dan lain lain tempat. Sehingga ketika beliau berada di Madinah
Al Munawwarah beliau telah mendengar orang ber’istighasah (minta tolong) dengan
Rasulullah SAW dan bukannya dengan Allah SWT. Lalu ia bertanya kepada Syeikh
Hayat As Sindi tentang perkara tersebut, maka dengan segera Syeikh tersebut
menjawab : “Sesungguhnya celakalah mereka itu dengan apa yang mereka itu
padanya dan kekarutan yang mereka kerjakan itu.”
Pada tahun 1158H, beliau telah pergi ke
Dar’iah dan menjadi tetamu bagi Abdul Rahman bin Suwailim dan Ahmad B Suwailim.
Semasa di sana beliau telah dikunjungi oleh orang ramai untuk mempelajari dan
mendalami ilmu agama darinya. Kemudian beliau telah bersetuju dengan Muhammad
b. Sa’ud Amir Ad Dar’iah untuk berjihad di jalan Allah bagi melaksanakan
tuntutan “amar ma’ruf dan nahi mungkar” serta menegakkan syariat agama Islam.
Meskipun orang ramai telah pun menaruh minat
serta memberi sokongan yang kuat terhadap da’wah SMAW, namun tidak dapat
dinafikan di sana terdapat beberapa golongan yang menentang usaha murni beliau,
sehingga sesetengah orang awam telah terpengaruh dengan dakyah-dakyah golongan
yang menentang usaha beliau ini disebabkan kerana:
·
Pihak
penentang beliau telah menulis surat kepada kerajaan Uthmaniyyah bagi meminta
bantuan ketenteraan dan mendesak agar Kerajaan Uthmaniyyah menghalangi
usaha-usaha SMAW. Mereka telah menakut-nakutkan pemerintah Kerajaan Uthmaniyyah
dengan dakwaan jika Kerajaan Uthmaniyyah tidak campur tangan di dalam masalah ini
nescaya kehebatan kerajaan Uthmaniyyah akan hilang dari hati-hati orang Islam.
Bukan sekadar itu sahaja, bahkan mereka telah memburuk-burukkan SMAW dengan
menaburkan fitnah-fitnah yang dusta, umpamanya mereka menuduh SMAW telah
membuat mazhab yang kelima, beliau tidak mencintai Rasulullah, tidak mengasihi
para wali dan sebagainya.
·
Golongan
Ulama yang hidup mereka hanya bergantung dengan dakyah-dakyah yang
membesar-besarkan kubur-kubur dan qubbah-qubbah yang dihiasi dengan pelbagai
corak sangat takut dan bimbang dakwah Salafiah yang dibawa oleh SMAW. Lalu
mereka menentang habis-habisan SMAW demi untuk menjaga sumber rezeki mereka.
·
Sesetengah
ulama tidak dapat gambaran yang jelas dan tepat tentang SMAW dan dakwahnya.
Merekahanya sekadar mendengar daripada orang yang berhasad dengki dan
memburuk-burukkan SMAW tanpa merujuk terus kepada kitab-kitab karangan SMAW.
Kitab-kitab Karangan Syeikh Muhammad Abd Wahab
SMAW telah mengarang beberapa buah kitab bagi
menegakkan ajaran Al-Qu’ran dan Al Sunnah serta sekaligus menjelaskan matlamat
dakwah beliau. Di antara kitab-kitab tersebut ialah:
·
Kitab at
Tauhid
·
Kasyfu asy
Syubhat
·
Thulatha al
Usul
·
Mukhtasar as
Sirah an Nabawiyyah
·
Al-Qawaid al
Arba’
·
Usul al Iman
·
Kitab Mufid
al Mustafid fi Kufri Tariq at Tauhid
·
Syurut as
Solah wa Arkaanuha
·
Kitab Fadl al
Islam
·
Majmu’ Rasail
fi at Tauhid wal Iman wa Masail al Jahiliyyah.
·
Kitab at
Thoharah
·
Mukhtasar al
Insof fi Ma’rifah ar Rajih minal Khilaf
·
Nasihah al
Muslimin bi Ahaadith Khatimal Mursalin
·
Kitab Al
Kabair
·
Mukhtasar
Zaadul Ma’ad
·
Kitab
Fadhailul Qur’an
·
Istinbath
minal Qur’an
·
Al Hudha An
Nabawi
·
Majmu’ as
Sawaiq
·
Majmu’ al
Hadith ‘ala Abwab al Fiqh
·
Ahaadith al
Fitan
·
Mukhtasar al
Bukhari
·
Ar Rasail asy
Syakhsyiyyah
·
Ikhtisar as
Syarh al Kabir
·
Masail al Jahiliyyah
dan sebagainya
Di dalam kitab Unwan Al-Majid telah menyatakan
bahawa ramai daripada pembesar pembesar ulama di zaman itu turut mendalami ilmu
mereka daripada SMAW. Keempat empat anak SMAW juga telah menjadi ulama besar di
zaman itu hasil daripada beliau. Mereka itu ialah Husain, Abdullah, Ali dan
Ibrahim.
Di samping itu terdapat ramai anak anak murid
SMAW yang muncul sebagai tenaga penggerak Da’wah As Salafiah di merata rata
tempat. Mereka kebanyakannya telah menjadi qadhi atau mufti diseluruh pelusuk
Tanah Arab. Di antara mereka itu ialah:
·
Syiekh Abdul
Aziz b. Abdullah Al Husain Al Naasiri
·
Syiekh Sa’id
b. Huja’I
·
Syiekh Abdur
Rahman b. Naami
·
Syiekh Hamid
b. Naasir b. Usman b. Ma’mar
·
Syiekh Ahmad
b. Rasyid Al Uraini
·
Syiekh Abdul
Aziz Abu Hasan
·
Syiekh Abdul
Aziz b. Suwailim
·
Syiekh Hasan
b. Aidan dan lain lain lagi.
Masyarakat Najd sebelum Da’wah Syiekh Muhammad Abd Wahab
SMAW telah mendapati bahawa khurafat dan
I’tiqad yang rosak dan bercanggah dengan usul agama yang sahih telah berleluasa
di dalam negei Najd dan di kawasan kawasan sekitarnya. Masyarakat ketika itu
sering berulang alik ke kubur di negeri itu untuk meminta hajat atau meminta
agar mereka dilepaskan daripada kesusahan.
Umpamanya di Al Jubailah, mereka berulang alik
ke kubur yazid b. Al Khattab dan merendah diri serta meminta hajat daripadanya.
Peristiwa yang terlebih ganjil lagi berlagu di Negeri Al Mantahah dimana mereka
bertawassul dengan “Pokok Tamar Jantan” dimana orang yang belum berkahwin akan
berkata:
“Wahai bapa sekelian bapa (iaitu pokok
tamar jantan), saya hendak berkahwin sebelum cukup setahun”.
Kebanyakan masyarakat Islam ketika itu
sentiasa berulang alik ke kubur kubur yang didakwanya sebagai kubur para
sahabat dan para wali. Tanpa disedari meraka telah melakukan upacara ibadat
yang tidak selayaknya melainkan untuk Allah seperti bernazar, tawaf,
menyembelih, meminta tolong dan sebagainya. Mereka seolah olah tidak mengenal
Allaa SWT. Apabila ditimpa musibah atau sakit, maka mereka akan menjerit jerit
menangis berdoa’ dan meminta tolong di kubur kubur. Mereka juga seolah olah
tidak pernah mendengar Firman Allah SWT :
“Berdoalah kepadaku, nescaya akan Ku
perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang orang yang menyombongkan diri dari
menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina dina”. (Al
Mu’min : 60)
Hati mereka terikat kuat dengan kubur kubur,
pokok pokok dan gua gua. Di antara faktor faktor yang menyebabkan hati mereka
lebih gemar meminta doa kepada selain daripada Allah SWT dan tidak terus kepada
Allah sepertimana yang telah disarankan oleh ayat di atas ialah:
·
Penerimaan
amalan ini secara warisan daripada bapa bapa dan datuk datuk mereka tanpa
meneliti kesahihan amalan tersebut.
·
Tiadanya
golongan yang bangkit untuk membenteras bid’ah bid’ah ini dan berusaha untuk
mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sahih.
·
Bagi
sesetengah golongan perkara ini merupakan sumber rezeki dan batu loncatan untuk
mendapatkan pangkat dan kedudukan yang mereka inginkan.
·
Kejahilan
mereka dengan hakikat Islam yang sebenarnya yang dibawa oleh Rasulullah SAW,
sehinggakan mereka mencampur adukkan agama dengan perkara lain atau
menggantikannya dengan sesuatu yang bertentangan dengan Islam.
·
Pemimpin dan
penguasa tidak memandang berat terhadap persoalan tersebut. Mereka hanya sibuk
untuk mengumpul harta.
Justeru itu Syeikh Muhammad Abd Wahab bangkit
menentang perkara bid’ah ini dengan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah.
Beliau bersungguh sungguh di dalam usaha berda’wah mengajak manusia kepada
mengesakan Allah Subhanu Wata’ala di dalam beribadat serta berjuang untuk
menghapuskan syirik, bid’ah dan kesesatan.
Aqidah Syeikh Muhammad Abd Wahab
Mengenai aqidah SMAW adalah lebih wajar
sekiranya kita meneliti dan mengamati tulisan beliau dalam sebuah kitabnya yang
menjelaskan pegangan aqidahnya. Berkata Syeikh Rahimahullah, “Aku bersaksikan
Allah SWT dan sekalian mereka yang hadir bersamaku daripada para malaikat dan
aku bersaksikan kamu : “Bahawa aku beri ‘itiqad Ahlu-Assunah Wal Jamaah,
beriman dengan Allah dan para malaikat, kitab kitabNya, para RasulNya, hari
kebangkitan selepas mati serta qadar baik dan jahat”.
“Aku beriman dengan Allah SWT : Beriman
dengan sifat yang Allah SWT telah menyifatkan diriNya denganNya sepertimana
yang dinyatakan dalam kitabNya denganNya sepertimana yang dinyatakan dalam
kitabNya dan yang dating melalui lidah RasulNya tanpa tahrif (mengubah) dan
tamsil (mengumpamakan). Bahkan aku beri ‘itiqad bahawasa sesungguhnya Allah SWT
tidak ada sesuatu yang serupa denganNya dan Dia Maha Mendengar juga Maha
Melihat”.
“Aku tidak menafikan apa apa yang
disifatkan bagi DiriNya dan aku tidak mengubah perkataan Allah daripada
tempatnya dan tidak mengingkari nama nama dan ayat ayatNya. Aku tidak
mengetahui kaifiatNya dan aku tidak membandingkan sifat sifat Allah dengan
sifat makhluk. Kerana Allah tiada yang senama bagiNya, tiada seumpama, tiada
bandingan dan tidak dikiaskan dengan makhlukNya. Sesungguhnya Allah SWT lebih
mengetahui tentang diriNya dan yang selain daripadaNya serta lebih benar dan baik
perkataanNya”.
“Maka Allah SWT menyucikan diriNya daripada
sesuatu yang menyalahi, yang disifatkan oleh ahli Takyif (menentukan cara
kaifiat) dan Tamsil dan daripada sesuatu yang dinafikan oleh ahli Tahrif dan
Ta’til (menafikan sifat)” Firman Allah SWT:
“Maha suci Tuhanmu yang mempunyai keperkasaan
daripada mereka katakan, dan kesejahteraan dilimpahkan ke atas pada Rasul, dan
segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam”. (As Soffat: 180 – 182)
“Golongan yang berjaya (Firqah An Najiah)
itu adalah pertengahan di antara Qadariyyah dan Jabariyyah di dalam bab Af’al
(perbuatan) Allah SWT: pertengahan di antara Murjiah dan Jahmiah di dalam bab
Iman dan Deen; pertengahan di antara Rafidoh dan Khawarij di dalam bab para
sahabat Rasulullah SAW”.
“Aku ber’itiqad bahawa Al-Quran itu
Kalamullah yang diturunkan dan bukannya makhluk. DaripadaNya ia bermula dan
kepadaNya ia kembali. Sesungguhnya Allah SWT berkata kata dengan secara hakikat
(sebenarnya) Allah SWT menurunkannya kepada hamba dan rasul kepercayaanNya atas
jalan wahyu. Utusan Allah SWT di antaraNya dengan hamba hambaNya ialah Nabi
kita Muhammad SAW”…
Kemudian di tempat yang lain SMAW menulis:
“Aku beriman bahawasanya Nabi kita Muhammad SAW adalah penutup para Nabi dan
Rasul. Tidak sah iman seseorang sehinggalah ia beriman kepada risalahnya dan
bersaksi dengan kenabiannya”.
Seafdhal-afdhal umatnya adalah Abu Bakar As
Siddik, kemudian Umar Al Faruq, kemudian Uthman Zu Nurain, kemudian Ali Al
Murtadha, kemudian selebihnya dari sepuluh orang (yang dijamin masuk syurga)
kemudian ahli perang Badar, kemudian ahli Asy Syajarah, mereka yang menyertai
baia’h Ar Ridwan, kemudian sekelian para sahabat Radhiallahu’anhum.
Aku mengasihi sekalian para sahabat Rasulullah
SAW, sentiasa menyebut kebaikan mereka, meminta ampun untuk mereka, menahan
diri daripada menyebut keburukan mereka, dan diam di dalam perkara yang
diperselisihkan di antara mereka.
Aku berkeyakinan dengan kelebihan mereka,
sepertimana Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan orang orang yang datang sesudah
mereka, mereka berdoa: “Ya Tuhan Kami! Beri ampunlah kami dan saudara saudara
kami yang telah beriman terlebih dahulu dari kami dan janganlah kau membiarkan
kedengkian dalam hati kami terhadap orang orang yang beriman, Ya Tuhan Kami!
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Hasyr:10)
“Aku berdoa dengan keredhaan Allah SWT bagi
ummahatul mu’minin yang bersih daripada setiap kejahatan. Aku mengakui keramat
para wali, tetapi mereka tidak berhak dengan sesuatu daripada hak Allah SWT. Aku
tidak bersaksi dengan syurga dan tidak juga neraka bagi mana mana muslimin,
melainkan mereka yang telah disaksikan oleh Rasulullah SAW. Tetapi aku berharap
kebaikan bagi orang yang berbuat baik dan aku takut atas orang yang berbuat
kejahatan.
Aku tidak mengkafirkan seseorang Islam dengan
sebab dosanya dan aku juga tidak mengeluarkanya daripada golongan Islam”.
Daripada beberapa petikan tulisan SMAW
mengenai aqidah di atas, jelaslah kepada kita bahawa aqidah beliau adalah
Aqidah Salafu As Soleh. Ianya juga merupakan pegangan aqidah imam imam Mazhab
dan imam imam Muhaddisin.
Oleh itu, untuk mengetahui dengan lebih
mendalam tentang intipati perjuangan SMAW adalah wajar bagi kita mendalami
hasil karya beliau. Di samping itu, melalui pembacaan dan kajian terhadap buku
buku karya SMAW, kita akan mendapat jawapan yang jelas terhadap fitnah fitnah
yang dilemparkan ke atas beliau.
Syubhat syubhat Ke Atas Syeikh Muhammad Abdul Wahab
Syubhat syubhat dan fitnah fitnah yang
dilemparkan ke atas SMAW adalah teramat banyak serta ianya masih lagi bersarang
di dalam kepala sesetengah umat Islam. Di sini memadailah kita membawa dua atau
tiga syubhat ke atas SMAW sebagai contoh. Di antaranya:
Syubhat Pertama
Mereka mendakwa bahawa SMAW dan pengikut
pengikutnya membenci Nabi Muhammad SAW, menghina Baginda SAW dan para Nabi yang
lainnya a’alaihimus solatu wassalam.
Bagi menguatkan dakwaan mereka, mereka berkata
bahawa SMAW telah berkata:
“Bahawa Nabi Muhammad SAW seumpama
seseorang yang tuli yang diutuskan kepada manusia untuk menyampaikan sesuatu
perkara kemudian ia pulang.”
Berkata Alwi Al Haddad dalam kitabnya “Misbah
Al An’am” :
SMAW dan para pengikutnya berkata :
”Tongkat saya adalah lebih baik daripada
Muhammad kerana ia dapat membunuh ular dan seumpamanya. Sedangkan Nabi Muhammad
telah mati dan tidak terdapat manfaat sekali padanya”.
Manakala Sayed Ahmad Zaini Dahlan pula
berkata:
“Pengikut SMAW telah terlarang daripada
berselawat kepada Nabi SAW selepas azan di atas menara, sehinggakan apabila seseorang
tukang azan yang buta berselawat kepada Nabi Muhammad SAW selepas azan lalu ia
dibawa kepada SMAW dan dibunuhnya tidak akan wujud melainkan pada diri orang
orang Maulid, Yahudi dan Nasrani”.
Bantahan Terhadap Syubhat Pertama
Sesungguhnya dakwaan ini adalah fitnah yang
keji yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada individu Islam yang berusaha
gigih untuk menegakkan Al-Quran dan As Sunnah. Tambahan pula sikap membenci Nabi
Muhammad SAW tidak akan wujud melainkan pada diri orang orang Mulhid, Yahudi
dan Nasrani.
Sepertimana yang kita telah ketahui, syarat
untuk seseorang itu menjadi seorang Islam adalah dengan ucapan dua kalimah
syahadat “Bahawasanya aku naik saksi tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan
Allah dan Muhammad itu Rasulullah” oleh itu bagaimana mungkin seorang yang
mengaku dirinya Islam membenci Rasulullah serta melarang berselawat kepadanya.
Allah berfirman:
“Katakanlah, Jika kamu mencintai Allah
ikutilah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa dosa kamu”. (Ali Imran
31)
Ayat ini mejelaskan kepada kita bahawa adalah
syarat bagi seorang hamba yang mendakwa ianya mencintai Allah SWT itu mengikuti
RasulNya. Dan mengikuti RasulNya tidak dapat tidak adalah dengan wujud perasaan
cinta terhadapnya. Rasulullah SAW bersabda:
”Maksudnya: Tidak beriman seseorang itu
sehingga adalah aku lebih dicintainya daripada bapanya dan anaknya serta
manusia sekeliannya”.
Justeru itu bagaimana mungkin sahnya iman
seseorang itu sdangkan ia tidak mencintai Rasulullah SAW.
Di samping itu kita harus menyedari bahawa
SMAW juga turut menghasilkan kitab “Seerah Rasulullah SAW”. Andaikan beliau
tidak mencintai Rasulullah SAW, nescaya beliau tidak akan mengarang kitab
“SIRAH” yang memaparkan kehebatan dan kebesaran Rasulullah SAW dari mula Baginda
dilahirkan hingga wafat.
SMAW adalah seorang yang bermazhab Hanbali,
mereka berpendapat berselawat ke atas Nabi SAW di dalam tahiyyat akhir adalah
daripada fardhu. Solat iti tidak sah melainkan dengan selawat ke atas Nabi SAW.
Pendapat ini adalah bertepatan dengan pendapat (qaul) kedua Imam Syafi’e,
manakala mazhab Maliki dan Hanafi pula menyatakan ianya sunat. Oleh itu
bagaimana mungkin kita boleh menuduh orang yang mewajibkan selawat ke atas Nabi
SAW di dalam solat itu membenci Rasulullah SAW.
Adakah mereka itu lupa bahawa selawat ke atas Rasulullah
SAW itu adalah merupakan perintah Allah SWT. FirmanNya:
Maksudnya: “sesungguhnya Allah dan para
malaikatNya berselawat ke atas Nabi SAW. Wahai orang-orang beriman!
Berselawatlah kami ke atas Nabi dan ucapkan salam penghormatan kepadanya.
(Al-Azhab:50)
Para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa
berselawat tanpa mengangkat suara selepas azan itu merupakan bid’ah yang berlaku
pada tahun 781H, di mana ia tidak pernah berlaku pada zaman para sahabat,
tabi’in serta imam yang empat.
Syubhat Kedua
Meraka mendakwa SMAW serta para pengikutnya
telah berkata: “Bahawa Nabi Muhammad SAW telah mela’nat menghina negeri Najd
serta melarang daripada berdoa untuk ahli-ahlinya, telah sabit dalam hadith sahih
bahawa Nabi SAW telah bersabda:
“Ya Allah! Berkatilah bagi kami pada negeri
Syam dan negeri Yaman kami. Mereka berkata: “dan pada negeri Najd kami”.
Bersabda Nabi: “Ya Allah! Berkatilah kami pada negeri Syam kami dan negiri
Yaman kami. Mereka berkata: “Dan kepada negeri Najd kami. Maka aku menyangka
mereka bersabda pada kali yang ketiga; di sana terdapat gempa dan fitnah dan di
sana naiknya tanduk syaitan…. Di dalam hadith yang lain pula: “Kepala kufur
dari sebelah matahari naik”.
Muhammad b. Abdul Wahab dilahirkan dan dibesarkan
di negeri Najd, manakala Nabi Muhammad SAW pula memberitahu di sana terdapat
gempa dan fitnah, Maka da’wah SMAW adalah sebahagian daripada gempa dan fitnah.
Sesungguhnya telah lahir sebelumnya daripada negeri Yamaamah “Musailamah Al
Kazzab’ yang mendakwa sebagai Nabi, begitu juga dengan Thulaihah b. Khuwailid
Al Asadi. Najd terletak sebelah Timur Madinah.
Bantahan Terhadap Syubhat Kedua
Kita tidak menafikan bahawa Hadith yang mereka
kemukakan di atas adalah sahih, tetapi ia bukan untuk mela’nati negeri Najd Al
Yamamah, bahkan kalimah Najd itu disebut bagi setiap sesuatu yang lebih tinggi
atau menonjol daripada permukaan mukabumi. Manalaka kawasan yang terletak di
timur Madinah adalah Iraq dan bukanya Al Yamamah seperti mana dakwaan mereka.
Telah berkata Al Karmaani di dalam Syarah Al
Bukhri: asal “Najd” Itu adalah sesuatu yang meninggi daripada permukaan bumi
dan ia bersalahan dengan tanah rendah”. Ibnu Hajar Al Asqolani pula berkata: “
Telah bersepakat mereka yang telah mensyarahkan hadith dan para imam lughah
pada kalimat “Najd” itu bukannya nama bagi negeri yang khusus dan bukannya nama
bagi negeri yang tertentu, bahkan ia disebutkan bagi setiap bahagian di muka
bumi yang meninggi dan yang menonjol daripada permukaan yang sekitarnya.
Justeru itu “Najd” di negeri Arab adakah
teramat banyak, di antaranya: Najd Al Barq, Najd Ija’, Najd Al Iqab di Damsyik,
Najd Yaman, Najd Hijaz dan Najd Iraq yang terletak di sebelah timur Madinah Al
Munawwarah.
Ketika mensyarahkan hadith “Tanduk syaitan itu
terbit daripada Najd”, Al Karmaani telah berkata: “Ianya adalah permukaan bumi
yang tinggi daripada Tihamah hingga kepada negeri Iraq”.
Dari itu jelaslah kepada kita bahawa hadith
yang mencela “Najd” di mana terbitnya tanduk syaitan darinya bukanlah ditujukan
kepada Najd Al Iraq dan sekelilingnya.
Telah berkata pengarang “Akmalul Bayan fi
Syarhi Hadith Najd Qarnul Syaitan”: Yang dimaksudkan dengan negeri-negeri yang
terletak di sebelah timur Madinah Al Munawwarah seperti mana yang tersebut di
dalam hadith-hadith itu ialah tempat bermulanya fitnah dan fasad, pusat
kekufuran dan ilhad serta tempat terbitnya bid’ah dan kesesatan. Maka lihatlah
pada peta Arab dengan pandangan yang teliti, nescaya jelaslah kepada kamu
bahawa permukaan bumi yang tinggi di sebelah timur Madinah itu aialah Iraq yang
terletak pada Kufah, Basrah dan Baghdad”.
Di antara gempa dan fitnah yang telah berlaku
di Najd Iraq itu ialah: peperangan Jamal dan Siffin. Di mana kedua-dua
peperanagn ini sedikit sebanyak telah meretakkan perpaduan umat Islam dan
menjadi sebab munculnya golongan sesat seperti Khawarij dan Syiah serta
berlakunya peristiwa kafir mengkafir dikalangan umat Islam ketika itu.
Kemudian berlaku pembunuhan Hasan b. Ali RA
dan ia adalah sebesar-beasr fitnah yang berlaku kepada umat Islam. Kemudian
munculnya Al Mukhtar Al Ubaed ath Thaqafi yang mendakwa menerima wahyu serta
berlakunya tragedi pembunuhan Zaid b. Ali b. Husain.
Di sanalah munculnya golongan Mu’tazilah dan
Qadariyah serta berlakunya tragedi fitnah Al Quran itu Makhluq, di mana Al
Ma’mun telah memaksa umat Islam agar ber’itiqad bahawa Al Quran itu Makhluq
sehingga membawa kepada pembunuhan Imam Ahmad Al Khazaie’, manakala Imam Ahmad
b. Hanbal pula disisksa dan dipenjarakan kerana menentang I’tiqad yang bathil
ini.
Syubhat Ketiga
Meraka menyatakan SMAW dan para pengikutnya
telah melarang daripada membaca kitab: “Dalail Al khairat” dan “Syawariq Al
Anwar” di mana kitab ini banyak menghimpunkan fadhilah-fadhilah berselawat ke
atas Nabi SAW dan berbagai lafaz selawat.
Bantahan Terhadap Syubhat Ketiga
Kita seharusnya meneliti adakah larangan SMAW
itu daripada membaca kedua-dua kitab tersebut di atas adalah berdasarkan kepada
larangan berselawat ke atas Nabi SAW atau sebaliknya.
Terlebih dahulu kita seharuslah menyedari
bahawa kedua-dua kitab tersebut di atas adalah dipenuhi dengan hadith-hadith
yang daif dan palsu (maudhu’) bahkan lafaz-lafaz selawat di dalam kitab itu
tidak warid daripada Al Quran dan As Sunnah. Ianya hanyalah semata-mata ciptaan
pengarang kitab tersebut.
Pengarang kitab di atas telah menjadikan
selawat-selawat itu sebagai hizib yang perlu dibaca pada hari-hari tertentu
sepanjang minggu, sedangkan perbuatan menjuzu’kan selawat-selawat serta
membahagi-bahagikan selawat mengikut hari adalah merupakan bid’ah yang tidak
dilakukan oleh Nabi SAW, para sahabat, tabi’in serta para imam yang mu’tabar.
Selawat kepada Nabi SAW adalah merupaka ibadah
dan perkara ‘qurbah’ (mendekatkan diri kepada Allah SWT) yang dibina atas
tauqifiah di man ibadah itu hendaklah berpunca daripada Al Quran dan As Sunnah
dan bukannya dicipta oleh manusia. Justeru bagaimana mungkin kita menjadikan
selawat-selawat yang dihasilkan oleh pengarang kitab tersebut sebagai ibadah
kita setiap hari dan sepanjang minggu.
Di sini kita kemukakan contoh hadith yang di
sandarkan kepada Nabi SAW yang terdapat di dalam kitab tersebut. Bersabda Nabi
SAW:
“Tidak ada daripada seorang hamba yang
berselawat kepadaku melainkan keluar selawat daripada mulutnya dengan segera
tidak daratan dan tidak lautan, tidak timur dan tidak barat melainkan lalu
selawat itu serta berkata: “Aku berselawatlah Fulan b. Fulan dan ia telah
berselawat ke atas Nabi pilihan”. Maka tidak ada sesuatu melainkan berselawat
ke atasnya. Dan Allah jadikan daripadanya seekor burung yang mempunyai 70 ribu
sayap dan tiap-tiap sayap 70 ribu bulu dan tiap-tiap buku 70 ribu muka dan pada
tiap-tiap muka 70 ribu mulut dan tiap-tiap mulut ada 70 lidah dan setiap lidah
itu bertasbih bagi Allah dengan 70 ribu bahasa dan Allah menulis pahala semua
itu untuk orang tersebut.”
Jelaslah kepada kita bahawa larangan SMAW
daripada mengambil panduan dari kitab “Dalail Al Khairat” dan ‘Syawarariq Al
Anwar” adalah berdasarkan kepada beberapa kaedah syar’ie dan bukannya kerana
tidak suka berselawat ke atas Nabi SAW.
Penutup
Setelah kita meninjau secara ringkas mengenai
SMAW, dakwahnya serta beberapa syubhat yang dilemparkan kepadanya, dapatlah
kita membuat gambaran bahawa SMAW adalah merupakan seorang ulama dan tokoh
dakwah yang sentiasa berusaha gigih, tidak mengenal putus asa dan sentiasa
bersabar dalam memperjuangkan cita-cita beliau. Dakwahnya terus berkembang
sehingga ke negeri Sudan, Al Jazair, Mesir, India , Hadral Maut, Asia Tengah
dan lain-lain lagi.
Perlu juga diingatkan bahawa para penentang beliau
sentiasa membangkang usaha-usaha SMAW dengan sebab-sebab politik dan bukannya
agama, seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Sidi Yusuf di dalam kitabnya “Al
Fikir As Saami Fi Al Fiqhi Al Aslami”: “Bahawasanya orang Turki apabila merasa
bimbang terhadap dakwah SMAW, lalu mereka menyebarkan fitnah-fitnah yang
dibuat-buat seluruh alam Islam di bawah pemerintahannya. Lantaran itu Sultan
Maghribi telah menolak perintah atau seruan kerajaan Turki itu kerana mendapati
ianya bukanlah masalah agama tetapi adalah masalah politik.”
Allahu a’lam bisshawab
MOHAMMAD ABDUL QADEER ALMANDEELY
Pejabat Am Hal Ehwal Agama Dan Masjid Al Haram
Makkah Al Mukaramah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar